Isnin, 19 Februari 2018

Kesan perceraian terhadap pembentukan akhlak anak-anak


Perceraian memberi kesan negatif terhadap pasangan suami isteri tersebut dan mempengaruhi pembentukan akhlak anak-anak. Terdapat lima kesan negatif terhadap pembentukan akhlak anak-anak akibat daripada perceraian ibubapa. 

1. Bersifat pemurung dan merendah diri.
Sesetengah perceraian suami isteri berlaku disebabkan masalah kewangan kerana ketidakmampuan pasangan tersebut menanggung dan menyara hidup keluarga dan anak-anak. Hal ini akan menyebabkan pasangan tersebut sering bertengkar dan saling menyalahi antara mereka. Anak-anak yang telah dewasa akan tersepit dengan keadaan tersebut dan merasakan bahawa mereka juga merupakan punca pertengkaran tersebut. Pertengkaran yang membawa perceraian akan menyebabkan anak-anak merasa bersalah dan bermurung. Kesan daripada perasaan tersebut akan membawa kesan negatif terhadap pembentukan akhlak anak-anak. Perwatakan anak-anak akan berubah menjadi kurang berkeyakinan, rendah diri dan anti-sosial. Selain itu, anak-anak juga akan menjadi seorang yang memendam perasaan dan lebih cenderung untuk tidak berkongsi dengan orang lain. Kesan-kesan negatif ini akan menjejaskan masa depan anak-anak tersebut untuk berhadapan dengan masyarakat pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pembentukan insaniah yang pemurung dan rendah diri akan mengakibatkan masalah lain seperti kesukaran berkomunikasi dan berinteraksi orang lain, mudah ditindas atau dibuli dan menjadi seorang yang beremosi.

2. Melahirkan sikap pemarah dan pembuli.
 Lazimnya, anak-anak yang kerap dihukum dan dimarahi akan menjadi seorang yang pendendam dan pemarah. Setiap kali menerima hukuman seperti dirotan dan dimarahi, anak-anak akan berdiam diri dan memendam perasaan. Hal ini kerana rasa hormat dan rasa takut yang melampau kepada ibu atau bapa mereka yang sedang bermasalah. Kesannya, anak-anak ini mengalami tekanan emosi yang teruk dan membawa kesan negatif terhadap pembentukan akhlaknya. Oleh yang demikian, sesetengah anak-anak meluahkan perasaannya melalui perbuatan dan sikap panas baran atau pemarah kepada orang lain. Antara contohnya adalah menjadi seorang yang suka membuli rakan-rakan sebaya di sekolah. Anak-anak ini membuli rakan sebaya yang lemah dan mudah ditindas. Selain itu, tekanan ini juga boleh mewujudkan gejala vandalisme kepada kemudahan awam seperti menconteng papan tanda, dinding bangunan dan merosakkan tong sampah awam.

3. Hilang tumpuan dan perhatian dalam pelajaran.
Perceraian menyebabkan ibu atau bapa menjadi seorang yang sensitif, beremosi dan pemarah. Tambahan lagi, tanggungjawab yang bertambah sebagai ibu bapa tunggal semakin memberi tekanan kepada mereka. Hal ini menjejaskan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak. Sebagai anak-anak yang sedang meningkat dewasa, ibubapa sepatutnya memberikan sokongan dan perhatian. Namun, tekanan daripada perceraian menyebabkan ibubapa lebih cenderung memberi kata perintah, kata-kata kesat dan kasar serta hukuman yang melampau.  Hal ini bukan hanya menjadi memberi tekanan kepada ibu bapa tersebut, malah anak-anak turut menjadi tertekan dengan keadaan yang berlaku. Suasana rumah menjadi tidak kondusif, ibu atau bapa pula sentiasa memberi tekanan dan memarahi tanpa alasan yang kukuh menyebabkan anak-anak tidak dapat menumpukan pelajaran. Tambahan lagi, anak-anak menjadi malas dan hilang semangat untuk belajar. Seterusnya, anak-anak akan ketinggalan dalam pelajaran dan prestasi pelajarannya merosot,

4. Kurang didikan dan pegangan agama.
Perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak kekurangan kasih sayang dan perhatian. Peranan sebagai ibubapa tunggal menyebabkan ibubapa tersebut lebih mementingkan aspek kewangan dan material. Hal ini kerana untuk menjamin keperluan keluarga yang perlu ditanggung dan dipenuhi. Namun begitu, tanggungjawab kepada anak-anak terabai termasuk dari aspek kasih sayang dan pendidikan. Kesannya, anak-anak akan kekurangan didikan terutamanya didikan agama. Apabila tiada didikan dan pengetahuan agama, maka anak-anak cenderung melakukan perkara yang sia-sia. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan kekurangan kasih sayang dan rasa dipinggirkan. Seterusnya, menyebabkan jiwa anak-anak kurang didasari dengan agama. Anak-anak ini akan mencari altenatif lain untuk meluahkan kekecewaannya seperti lari dari rumah, terjebak dengan gejala sosial dan pengambilan pil khayal atau dadah untuk melupakan masalah. Kesan ini menunjukkan bahawa pembentukan insaniah anak-anak adalah negatif akibat daripada perceraian ibu bapanya. 

5. Mudah terpengaruh dengan perkara yang sia-sia.
Rentetan daripada kurang pegangan agama, maka anak-anak akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti merokok, ponteng sekolah dan merempit. Hal ini juga berpunca daripada pengaruh rakan sebaya yang tidak bermoral dan perasaan ingin mencuba perkara baru. Ibu atau bapa tunggal sentiasa sibuk untuk mencari nafkah untuk menyara keluarga, maka ibu atau bapa tersebut tiada masa untuk memantau aktiviti harian anak-anak termasuk pemilihan rakan sebayanya. Sesetengah anak-anak terlibat dengan perkara yang tidak bermoral ini adalah untuk mendapatkan perhatian daripada ibubapa semata-mata. Selain itu, kekurangan kasih sayang daripada ibubapa juga menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang diluar rumah seperti mencari teman lelaki dan bersosial dengan rakan-rakan sebaya. Akibat aktiviti bersosial dan pergaulan bebas ini mengundang kepada masalah hubungan seks rambang dan anak luar nikah. Oleh yang demikian, masalah perceraian ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh kerana tiada pemantauan dan didikan yang cukup daripada ibu bapa. 

Kesimpulannya penceraian banyak memberi kesan negatif kepada anak-anak dalam pembentukan akhlak mereka .Mereka juga akan merasa trauma dengan perkahwinan  pada masa yang akan datang apabila dewasa kelak. 

Jumaat, 16 Februari 2018

Cara Membina Keluarga Bahagia




1. Menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak

Ibubapa sendri perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak kerana mereka merupakan golongan yang paling kerap berada dengan anak-anak. Tutur kata yang sopan dan lemah lembut dengan pasangan dan juga anak-anak perlu diterapkan dalam diri.

Elakkan sikap negatif seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri di depan anak-anak. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka. Perlakuan anak-anak sememangnya mencerminkan didikan kita sebagai ibu bapa.

2. Mengawasi Aktiviti Anak-Anak

Anak-anak yang sedang membesar semestinya banyak terpengaruh dengan rakan sebaya kerana darah muda membuatkan mereka memberontak untuk melakukan perkara yang baru. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak kerana sebuah keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya.

3. Mencurahkan Kasih Sayang Dan Meluangkan Masa Bersama Anak-Anak

Sudah semestinya pada zaman pemodenan ini,tugas ibu bapa mencari rezeki sememangnya mencabar. Kadangkala tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak diabaikan kerana sibuk mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.

Anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Sudah pasti anak-anak akan gembira sekiranya anda sebagai ibu bapa menunjukkan kasih sayang dan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak.

4. Memberikan Didikan Agama Dan Moral Yang Mencukupi

Pelbagai kes sosial yang berlaku pada remaja zaman sekarang pastinya merisaukan anda sebagai ibu bapa apatah lagi jika anak anda sedang meningkat dewasa. Oleh itu,berikan didikan agama dan moral yang mencukupi kerana ia dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan anak-anak sekaligus menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga bahagia. Bagi ibu bapa pula,kesabaran yang tinggi diperlukan untuk mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai.

5. Saling Menghormati Antara Satu Sama Lain

Wujudkan suasana dan sikap saling menghormati antara satu sama lain di kalangan anak-anak dan ahli keluarga anda. Jangan biarkan mereka meninggikan suara dan juga memanggil antara satu sama lain dengan panggilan untuk kawan. Selain itu,sikap saling membantu juga perlu diterapkan. Contohnya jika anak sulung anda pandai dalam subjek Matematik,dia haruslah membantu adik-adiknya yang lemah dalam pelajaran tersebut.

6. Kerapkan Berkomunikasi Antara Satu Sama Lain

Komunikasi merupakan salah satu cara membentuk keluarga bahagia. Ini adalah kerana komunikasi yang salah akan menimbulkan pelbagai impak yang tidak baik kepada keluarga seperti pergaduhan atau penceraian.

CIRI-CIRI KELUARGA BAHAGIA


Setiap manusia menginginkan sebuah keluarga yang bahagia apabila sudah berkahwin.Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat

Walaupun suami atau bapa merupakan ketua kepada sebuah keluarga dan menjadi tanggungjawab mereka untuk melaksanakan tugas memimpin keluarga. Namun, anda sebagai isteri atau ibu haruslah sama-sama memainkan peranan dan membantu suami anda memimpin keluarga. Pastinya kehidupan anda akan lebih tenang sekiranya keluarga yang anda bina adalah keluarga yang bahagia.

Ciri-ciri Keluarga Bahagia:

  • Menginap dalam rumah yang selamat dan sempurna.
  • Mempunyai pendidikan yang mencukupi.
  • Mengamalkan cara hidup sihat seperti makan secara sihat,bersenam,tidak merokok dan tidur yang mencukupi.
  • Berkomunikasi dan berinteraksi secara positif dengan ahli keluarga.
  • Menunaikan peranan dan tanggungjawab masing-masing.
  • Mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi.
  • Mengamalkan nilai agama dan moral.
  • Tidak hanya mementingkan diri sendiri.

Kesan perceraian terhadap pembentukan akhlak anak-anak

Perceraian memberi kesan negatif terhadap pasangan suami isteri tersebut dan mempengaruhi pembentukan akhlak anak-anak. Terdapat lima ke...