Perceraian memberi kesan negatif terhadap pasangan suami isteri tersebut dan mempengaruhi pembentukan akhlak anak-anak. Terdapat lima kesan negatif terhadap pembentukan akhlak anak-anak akibat daripada perceraian ibubapa.
1. Bersifat pemurung dan merendah diri.
Sesetengah perceraian suami isteri berlaku disebabkan masalah kewangan kerana ketidakmampuan pasangan tersebut menanggung dan menyara hidup keluarga dan anak-anak. Hal ini akan menyebabkan pasangan tersebut sering bertengkar dan saling menyalahi antara mereka. Anak-anak yang telah dewasa akan tersepit dengan keadaan tersebut dan merasakan bahawa mereka juga merupakan punca pertengkaran tersebut. Pertengkaran yang membawa perceraian akan menyebabkan anak-anak merasa bersalah dan bermurung. Kesan daripada perasaan tersebut akan membawa kesan negatif terhadap pembentukan akhlak anak-anak. Perwatakan anak-anak akan berubah menjadi kurang berkeyakinan, rendah diri dan anti-sosial. Selain itu, anak-anak juga akan menjadi seorang yang memendam perasaan dan lebih cenderung untuk tidak berkongsi dengan orang lain. Kesan-kesan negatif ini akan menjejaskan masa depan anak-anak tersebut untuk berhadapan dengan masyarakat pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pembentukan insaniah yang pemurung dan rendah diri akan mengakibatkan masalah lain seperti kesukaran berkomunikasi dan berinteraksi orang lain, mudah ditindas atau dibuli dan menjadi seorang yang beremosi.
2. Melahirkan sikap pemarah dan pembuli.
Lazimnya, anak-anak yang kerap dihukum dan dimarahi akan menjadi seorang yang pendendam dan pemarah. Setiap kali menerima hukuman seperti dirotan dan dimarahi, anak-anak akan berdiam diri dan memendam perasaan. Hal ini kerana rasa hormat dan rasa takut yang melampau kepada ibu atau bapa mereka yang sedang bermasalah. Kesannya, anak-anak ini mengalami tekanan emosi yang teruk dan membawa kesan negatif terhadap pembentukan akhlaknya. Oleh yang demikian, sesetengah anak-anak meluahkan perasaannya melalui perbuatan dan sikap panas baran atau pemarah kepada orang lain. Antara contohnya adalah menjadi seorang yang suka membuli rakan-rakan sebaya di sekolah. Anak-anak ini membuli rakan sebaya yang lemah dan mudah ditindas. Selain itu, tekanan ini juga boleh mewujudkan gejala vandalisme kepada kemudahan awam seperti menconteng papan tanda, dinding bangunan dan merosakkan tong sampah awam.
3. Hilang tumpuan dan perhatian dalam pelajaran.
Perceraian menyebabkan ibu atau bapa menjadi seorang yang sensitif, beremosi dan pemarah. Tambahan lagi, tanggungjawab yang bertambah sebagai ibu bapa tunggal semakin memberi tekanan kepada mereka. Hal ini menjejaskan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak. Sebagai anak-anak yang sedang meningkat dewasa, ibubapa sepatutnya memberikan sokongan dan perhatian. Namun, tekanan daripada perceraian menyebabkan ibubapa lebih cenderung memberi kata perintah, kata-kata kesat dan kasar serta hukuman yang melampau. Hal ini bukan hanya menjadi memberi tekanan kepada ibu bapa tersebut, malah anak-anak turut menjadi tertekan dengan keadaan yang berlaku. Suasana rumah menjadi tidak kondusif, ibu atau bapa pula sentiasa memberi tekanan dan memarahi tanpa alasan yang kukuh menyebabkan anak-anak tidak dapat menumpukan pelajaran. Tambahan lagi, anak-anak menjadi malas dan hilang semangat untuk belajar. Seterusnya, anak-anak akan ketinggalan dalam pelajaran dan prestasi pelajarannya merosot,
4. Kurang didikan dan pegangan agama.
Perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak kekurangan kasih sayang dan perhatian. Peranan sebagai ibubapa tunggal menyebabkan ibubapa tersebut lebih mementingkan aspek kewangan dan material. Hal ini kerana untuk menjamin keperluan keluarga yang perlu ditanggung dan dipenuhi. Namun begitu, tanggungjawab kepada anak-anak terabai termasuk dari aspek kasih sayang dan pendidikan. Kesannya, anak-anak akan kekurangan didikan terutamanya didikan agama. Apabila tiada didikan dan pengetahuan agama, maka anak-anak cenderung melakukan perkara yang sia-sia. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan kekurangan kasih sayang dan rasa dipinggirkan. Seterusnya, menyebabkan jiwa anak-anak kurang didasari dengan agama. Anak-anak ini akan mencari altenatif lain untuk meluahkan kekecewaannya seperti lari dari rumah, terjebak dengan gejala sosial dan pengambilan pil khayal atau dadah untuk melupakan masalah. Kesan ini menunjukkan bahawa pembentukan insaniah anak-anak adalah negatif akibat daripada perceraian ibu bapanya.
5. Mudah terpengaruh dengan perkara yang sia-sia.
Rentetan daripada kurang pegangan agama, maka anak-anak akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti merokok, ponteng sekolah dan merempit. Hal ini juga berpunca daripada pengaruh rakan sebaya yang tidak bermoral dan perasaan ingin mencuba perkara baru. Ibu atau bapa tunggal sentiasa sibuk untuk mencari nafkah untuk menyara keluarga, maka ibu atau bapa tersebut tiada masa untuk memantau aktiviti harian anak-anak termasuk pemilihan rakan sebayanya. Sesetengah anak-anak terlibat dengan perkara yang tidak bermoral ini adalah untuk mendapatkan perhatian daripada ibubapa semata-mata. Selain itu, kekurangan kasih sayang daripada ibubapa juga menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang diluar rumah seperti mencari teman lelaki dan bersosial dengan rakan-rakan sebaya. Akibat aktiviti bersosial dan pergaulan bebas ini mengundang kepada masalah hubungan seks rambang dan anak luar nikah. Oleh yang demikian, masalah perceraian ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh kerana tiada pemantauan dan didikan yang cukup daripada ibu bapa.
Kesimpulannya penceraian banyak memberi kesan negatif kepada anak-anak dalam pembentukan akhlak mereka .Mereka juga akan merasa trauma dengan perkahwinan pada masa yang akan datang apabila dewasa kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan